Sunther (duduk, kiri) pada sesi Pemantapan Ejen Mengundi, Ejen Pengira dan Ejen Barong parti di Tower Regency Hotel, Perak.

IPOH – Parti Warisan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat kawasan Parlimen untuk ditandingi di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi negerinya, Datuk Seri S. Sunther berkata, perkara itu telah dimuktamadkan dengan mengambil kira analisis semasa serta kriteria calon.

Bagaimanapun, jelas beliau, kawasan yang akan ditandingi tertakluk pada perbincangan akhir bersama presiden parti.

“Perbincangan telah dibuat namun belum ada kerusi diputuskan. Ia akan diumumkan oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 21 Oktober ini dan di Perak kita harap akan tanding tiga hingga empat kerusi.

“Kita ada penyelaras di 10 kawasan Parlimen yang telah bekerja keras, jadi terpulang pada analisis yang kita telah buat serta calon kerana Warisan adalah parti pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi Pemantapan Ejen Mengundi, Ejen Pengira dan Ejen Barong parti di Tower Regency Hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sunther berkata, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula pihaknya akan meletakkan calon di kerusi terpilih.

“Kita akan bertanding di semua DUN di bawah Parlimen sekurang-kurangnya dua serta beberapa DUN yang lain. Senarai calon juga kita telah berikan pada Majlis Tertinggi dan di Perak ia dianggap selesai,” ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya tentang kawasan Parlimen yang bakal ditandingi, Sunther telah memutuskan untuk tidak bertanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast