Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak bimbang dengan pertambahan jumlah pengundi Melayu di Parlimen Seremban.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi tersebut yakin untuk mempertahankan Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Anthony memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 30,694 undi pada PRU-14 berkata, keyakinan tersebut berdasarkan sikap penduduk Melayu yang terbuka di kawasan itu.

Pengundi Melayu di kawasan berkenaan, katanya, kini boleh menerima calon DAP.

“Dari segi demografi penduduk Melayu lebih ramai di Seremban dan kita sudah jangkakan peratusan pengundi Melayu akan bertambah disebabkan pendaftaran automatik pengundi 18 tahun malah telah meningkat melebihi 52 peratus.

“Sebelum itu, saya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal dan ia memberi saya lebih 18 tahun pengalaman di Parlimen Seremban,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Jumlah pengundi di Parlimen Seremban yang direkodkan ketika ini ialah 156,604 orang.

Pengundi Melayu adalah angka paling tinggi iaitu 83,192 manakala Cina (55,264) dan India (16,213).

Sementara itu, DAP akan mengumumkan calon-calon parti itu yang akan bertanding pada PRU-15 sevara berperingkat mulai minggu depan.

Menurut Anthony, senarai nama calon setiap negeri kini sudah berada dalam peringkat akhir pemilihan.

“Pengumuman itu akan dibuat secara berfasa mengikut negeri dan ikut kawasan berlainan. Setiap negeri telah pun menghantar senarai calon yang dicadangkan dan di peringkat kepimpinan tertinggi DAP, kita telah berbincang dan membuat penilaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Seremban Kawasan Dewan Undangan Negeri Nilai, Lobak dan Temiang hari ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast