Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Aspirasi Koperasi Malaysia di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menemplak sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang berterusan meratib alasan banjir bagi menghalang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Beliau menegaskan, alasan itu tidak lagi relevan ketika ini sambil menyifatkan musibah banjir itu adalah kuasa Tuhan apatah lagi ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda negara setiap akhir tahun.

“Ini banjir kuasa tuhan, kita tak tahu bila banjir, dia punya alasan tak nak bubar kerana takut banjir.

“Adakah banjir itu akan melanda seluruh negara, adakah banjir itu nanti mungkin berlaku di Selangor, Pahang, lepas itu Johor, Baling tak pernah banjir pun banjir.

“Jadi ini semua kuasa tuhan, kita untuk mengatasi masalah ketentuan tuhan ini, kita ada peraturan-peraturan kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang sengaja memberi pelbagai alasan bagi mengelak dan menolak proses demokrasi supaya PRU15 dilengahkan.

Zahid juga berkata, alasan terkini parti lawan membantah PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah wujudnya unsur tidak menghormati sambutan perayaan Deepavali yang semakin hampir.

Tambah Noh, sekalipun musibah banjir berlaku November dan Disember ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih mempunyai kuasa untuk menangguhkan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

“Jika lebih 60 hari, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ada kuasa untuk mengumumkan darurat, kalau pandemik Covid-19 boleh isytihar darurat, kenapa tidak musibah banjir,” katanya.

Noh tidak menolak kemungkinan alasan banjir itu hanya untuk mengaburi mata lawan politiknya kerana PH dan PN masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan takut kehilangan kuasa mahupun jawatan.

“Siapa tak seronok jadi menteri, siapa tak seronok dapat kuasa, kalau boleh nak lambat lagi, jadi dia orang ini takut hilang kuasa, takut hilang menterinya, hilang menteri besarnya,” katanya. – MalaysiaGazette