Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas hadir ke Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Penduduk di Selangor kini mencecah 7.04 juta orang, dengan 4.3 daripadanya beragama Islam, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, pertambahan penduduk dijangka terus berlaku kesan daripada faktor migrasi yang didorong oleh kestabilan Selangor sebagai pemacu ekonomi.

Katanya, negeri itu penyumbang kepada peratusan terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang terus konsisten.

“Bagi mengekalkan pencapaian ini, kerajaan negeri terus menggerakkan usaha kompetitif, meneroka prospek ekonomi baru, pemberian insentif dan pakej rangsangan industri secara berterusan.

“Keyakinan pelabur dan pemain industri terus dipertingkatkan dengan prinsip akauntabiliti dan integriti yang terus menjadi tunjang kerajaan negeri selaku badan eksekutif dalam membuat dasar dan keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Multaqa Murabbi Ummah (MMU) peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Menurut Amirudin, rentetan daripada kewujudan persekitaran ekonomi yang mampan dan bilangan penduduk Islam yang terus bertambah, keperluan institusi melibatkan umat Islam seperti infrastruktur masjid, surau dan sekolah juga semakin meningkat.

Katanya, sehingga September lalu, Selangor mempunyai sebanyak 435 masjid, 346 Surau Kebenaran Solat Jumaat dan 1,765 surau kariah.

Menurut beliau, dalam aspek penyediaan keperluan pendidikan, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyelia dan mengurus 576 sekolah agama.

Ia melibatkan 13 Pra Sekolah Islam, 295 Kelas KAFA, 229 Sekolah Rendah Agama (SRA), 11 Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), 23 Sekolah Agama Menengah (SAM) dan lima Maahad Tahfiz Sains (MITS).

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah itu belum mencukupi untuk menampung keperluan pendidikan Islam kepada anak penduduk Selangor.

“Bagi tujuan ini, kerajaan negeri melalui JAIS dan MAIS telah membenarkan penubuhan sekolah agama swasta untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak.

“Sehingga tahun ini sebanyak 953 sekolah agama swasta telah didaftarkan oleh pihak JAIS iaitu Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TAKIS) 180, Sekolah Rendah Islam (SRI) 232, Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII) 100, Sekolah Menengah Islam (SMI) 48, Maahad Tahfiz Al Quran 381 dan Pengajian Pondok 12.

“Berdasarkan statistik ini, saya melihat pada perspektif mikro, betapa besarnya perhatian diberikan kerajaan negeri, MAIS, JAIS serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam memastikan kesinambungan usaha mengangkat dan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negeri dan juga persekutuan,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Idris yang terus menjunjung prinsip federalisme dengan terus menyalurkan bantuan persekutuan kepada negeri itu sebanyak RM51,984,816 termasuk sumbangan khas one off yang telah disalurkan. – MalaysiaGazette