Datuk Idris Ahmad. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Orang ramai terutama umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak memperbesarkan isu berhubung dakwaan seorang lelaki bernama Sayyid Muhammad Amin bin Hamid Alidrisi Alhasani yang mengaku dirinya sebagai cicit Nabi Muhammad SAW.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan, rakyat tidak perlu mengambil tahu latar belakang lelaki itu, kerana ia akan mengundang kekeliruan dan kekeruhan.

“Tidak perlu pun kita nak tahu (latar belakang) siapa dia. Sebab kita tak pernah tengok keluarga Nabi, isteri-isteri Nabi.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah terapkan rasa sayang kepada Nabi dan keluarganya. Kita tidak boleh hina Nabi.

“Nabi Muhammad suruh kita didik anak kita, ajar anak kita supaya sayang kepada Nabi dan ahli keluarganya,” katanya ketika ditanya mengenai kemunculan seorang lelaki yang mendakwa sebagai cicit Nabi Muhammad.

Kata beliau, tidak ada faedah rakyat terutama umat Islam berbincang hal itu kerana ia akan menyusahkan semua pihak.

“Nasihat saya kepada semua ialah supaya memahami agama itu dalam asas yang betul, tidak perlu kita nak cari kesusahan, yang penting kita selawat kepada Nabi, sayang kepada Nabi dan keluarga.

“Tiba-tiba datang kes macam ini, akan menyusahkan semua orang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak menerima apa-apa laporan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung lelaki itu.

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada kewibawaan pegawai Bahagian Siasatan JAIS untuk menyiasat.

“Isu ini sudah dibincangkan secara meluas dan kita kena buat siasatan yang adil. Saya percaya dengan kredibiliti pegawai kita,” katanya. – MalaysiaGazette