Kajang Hulu Langat tahfiz centre madrasah bully bullies Mohd Zaid Hassan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 28 JUNE 2021. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

KAJANG – Seorang juruwang wanita lari masuk ke dalam bilik setor serta menguncinya dari dalam terselamat daripada diserang suspek samun bersenjata parang di sebuah kedai serbaneka di sini malam tadi.

Wanita terbabit turut membawa sekali wang hasil jualan premis bersamanya.

Akibatnya suspek sekadar melarikan beberapa kotak rokok sahaja.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima satu panggilan  daripada orang awam tentang kejadian samun di Taman Semenyih Indah.

Katanya, mangsa yang terlibat di dalam kejadian merupakan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang bekerja sebagai juruwang di premis tersebut.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam lebih kurang 7.20 malam tadi apabila mangsa telah didatangi suspek dipercayai lelaki tempatan memakai topi dan mengikat mukanya dengan sehelai kain kuning serta bersenjatakan parang panjang.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuka kaunter dan menyerahkan wang tunai sebelum mangsa cuba berdolak dalik dengan menipu tiada kunci menyebabkan suspek naik angin.

“Suspek kemudian menengking mangsa agar serahkan telefon bimbit dan menyebabkan mangsa melarikan diri ke dalam setor dan mengunci pintu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, suspek kemudiannya melarikan diri dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek telah mencuri beberapa bungkus rokok sahaja manakala mangsa pula terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

“Suspek sedang dikesan oleh polis dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini dinasihati menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette