Mogan (kiri) menunjukkan tangki yang diubah suai yang ditempatkan dalam lori suspek untuk mengisi minyak diesel yang diseleweng pada sidang media di stor penyimpanan eksibit KPDNHEP Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Sanggup terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel demi menyara keluarga.

Itu alasan seorang bapa empat cahaya mata kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang ketika ditahan.

Lelaki itu ditahan ketika sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam sebuah lori bonded yang telah diubahsuai di sebuah stesen minyak di Jalan Baru di sini semalam.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, suspek berusia 40-an yang ditahan pukul 3.45 petang itu mengaku baru pertama kali menjalankan kegiatan berkenaan untuk menyara keluarga.

Jelas beliau, siasatan mendapati suspek menerima upah daripada satu sindiket sebanyak RM150 bagi menjalankan kegiatan tersebut.

Tangki berkapasiti 2000 liter itu disembunyikan di bahagian belakang lori bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Lelaki itu dibekalkan dengan wang sebanyak RM1,500 untuk mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak

“Ketika ditahan, dia telah mengisi kira-kira 800 liter minyak diesel bernilai RM1,720  di dalam dua buah tangki berkapasiti 2,000 liter yang diubah suai di atas lori itu.

“Menerusi operasi tersebut, kita menyita 800 liter minyak diesel bersama sebuah lori satu tan, dua buah tangki fiber, dua buah pam dan sebuah paip hos yang dianggarkan bernilai RM11,520,” katanya pada sidang media di stor penyimpanan eksibit KPDNHEP di Bukit Minyak di sini hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette