Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih wujud walaupun Parlimen telah dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan itu masih lagi berfungsi namun walaupun mesyuarat tidak lagi diadakan secara mingguan.

Mesyuarat, katanya, hanya diadakan sekiranya ada keperluan.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak dibubarkan sebab inflasi dan masalah itu sentiasa ada dan akan sentiasa terus menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk memantau walaupun dalam bentuk caretaker.

“Pasukan ini tidak mengadakan mesyuarat sejak Parlimen dibubarkan kerana setelah dibubarkan, semua ahli Parlimen dan wakil rakyat pulang ke kawasan masing-masing tapi kita berhubung antara satu sama lain.

“Jika ada keperluan kita akan mengadakan mesyuarat minggu depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, mengikut ketetapan, mesyuarat akan bersidang setiap awal bulan atau seminggu selepas Indeks Harga Bulanan bagi menentukan kadar harga minyak masak sawit mentah (CPO) sebelum menentukan kadar harga minyak sawit botol pasaran tempatan.

“Begitu juga keberadaan barang bekalan makanan utama seperti ayam, telur, dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memantau perkara itu.

“Cuma kita bersidang sepatutnya dua kali seminggu tapi kita beri peluang kepada wakil rakyat yang terkejut dengan pembubaran untuk melihat persiapan di kawasan masing-masing,” katanya lagi.

Untuk itu, menurut beliau, mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu akan bersidang pada minggu depan. – MalaysiaGazette