Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts Zainab Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Akademia POLYCC 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Penawaran program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dilaksanakan di politeknik dan Kolej Komuniti sejak ia ditubuhkan di seluruh negara menerima hampir 3.5 juta penyertaan sehingga 30 September lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan hasil usaha daripada warga pendidik yang menjadi tulang belakang dalam kedua-dua institusi terlibat.

“Ia merupakan satu impak yang besar kepada masyarakat kerana melalui PSH ini, semua kursus yang kita tawarkan itu sememangnya membantu mereka meningkatkan pendapatan keluarga, melakukan perniagaan secara atas talian malah marketing juga kita ajar.

“Jadi saya kira ini antara sumbangan terbesar politeknik dan kolej komuniti kepada masyarakat kita.

“Secara kumulatif kita sudah mencapai lebih 800,000 graduan dalam semua bidang termasuk bidang teknikal seperti kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, dan kita juga ada menyediakan servis perkhidmatan.

“Semua yang saya nyatakan itu adalah bidang yang amat diperlukan oleh industri pada masa ini dan kebetulan graduan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), politeknik dan kolej komuniti adalah penyumbang terbesar di negara ini,” katanya pada pemberita.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts Zainab Ahmad (tengah) bergambar kenangan bersama penerima-penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademia POLYCC 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Akademia POLYCC peringkat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2022 di sini, hari ini.

Pada majlis sama turut mengumumkan hari persaraan Zainab yang akan mengakhiri tugasnya sebagai Ketua Pengarah JPPKK setelah 35 tahun menaburkan bakti.

Zainab berharap kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti dapat terus dipertingkatkan serta terus menjalinkan kerjasama rapat bersama pihak industri.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak industri sebab kita tidak mahu ada jurang perbezaan antara industri dengan pelajar kita, itu yang penting. Kita mahu mereka yang telah graduan ini terus masuk ke industri dengan mudah.

“Pihak industri pula tidak perlu membazir masa atau kewangan untuk buat upskilling atau riskskilling sebab garduan ini sudah tersedia untuk bekerja.

“Saya harap 36 buah politeknik dan 105 kolej komuniti di seluruh negara dapat menambah lagi pelajar yang berkemahiran seiring dengan permintaan industri kerana rakan terbaik kita dahulu kini dan selamanya adalah industri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pendidik yang juga pensyarah agar menjadi contoh atau mentor yang terbaik buat pelajar serta sentiasa cakna dengan perkembangan terkini terutama melibatkan industri dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast