KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak menipu berhubung kenyataan Bersatu menawarkan 47 kerusi boleh menang kepada Pas.
“Allah menjadi saksi, ramai juga menjadi saksi bahawa saya tidak merapu dan tidak menipu, jauh sekali memungkiri sebarang janji,” katanya.
Tambah Asyraf Wajdi, pertemuan pemimpin kedua-dua parti itu tidak sewajarnya dirahsiakan.
Ini kerana menurut beliau, pertemuan berkenaan mempunyai niat yang baik.
“Tiada sebarang permintaan supaya gambar tidak didedahkan. Lagi pun kenapa takut untuk mendedahkan pertemuan yang punya niat yang baik?
“Tiada apa yang perlu dirahsiakan melainkan Pas takut rakannya Bersatu marah sebab jumpa kembali dengan UMNO secara senyap-senyap,” katanya di Facebook.
Tidak terdapat juga sebarang permintaan supaya tidak didedahkan gambar pertemuan antara pemimpin tertinggi Pas dan UMNO yang berlangsung baru-baru.
Dalam hantaran itu beliau berkongsi kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Zamry mempertahankan kenyataan yang dibuat oleh Asyraf Wajdi mengenai pertemuan itu.
Beliau turut berkongsi sekeping foto yang memaparkan pemimpin yang hadir termasuk dirinya dan Asyraf Wajdi.
“Dr. Asyraf tidak merapu, tidak menipu,” kata Zamry ringkas di Facebook.
Turut hadir pada pertemuan itu adalah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung PAs Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini media melaporkan Tuan Ibrahim menyangkal kenyataan Asyraf Wajdi kononnya Bersatu menawarkan 47 kerusi sekiranya parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, isu itu tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.
Malah, beliau berkata, Asyraf Wajdi tidak terbabit pada mesyuarat berkenaan.
“Tak betul, dia merapu! Dia (Asyraf Wajdi) tak terbabit pun dalam mesyuarat itu. Bahkan sudah diingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil sebab pertemuan tertutup,” katanya dalam satu hantaran menerusi Twitter.
Asyraf Wajdi menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu berlangsung sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama Perikatan Nasional.
Beliau turut memaklumkan Pas ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu jika menyertai PN. – MalaysiaGazette