Datuk Zaid Ibrahim

KAJANG – Barisan Nasional (BN) mungkin terjejas untuk mendapat sokongan majoriti pengundi pada Pilihan raya Umum ke- 15 (PRU-15) ekoran ‘ketiadaan’ Datuk Seri Najib Razak.

Pandangan itu dilontarkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menyifatkan aura bekas perdana menteri itu menguatkan BN selepas kejatuhan pada PRU-14 lalu.

Beliau berpandangan, BN boleh merampas semula pentadbiran negara namun mengakui risau dengan keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi muda kali ini.

“Saya susah nak cakap, saya rasa mungkin balik. Cuma saya tak tahulah pengundi muda ini. Macam yang saya kata, kesan daripada Datuk Najib tak ada, susah nak agak.

“Kalau Datuk Najib ada saya lebih yakin. Dia di dalam, pengundi baharu yang lebih lima juta ini, saya pun tak tahulah, kita susah nak jangka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Minda Profesor yang bertajuk Apa Masalah Sistem Kita? Perundangan dan Politik di Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Zaid berkata, Najib merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat dan ketiadaannya serba sedikit menjejaskan kempen  jentera BN.

Bagaimanapun beliau berkata, keadaan seperti itu tidak akan berlaku sekiranya ahli UMNO saling membantu sesama sendiri selain bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN. – MalaysiaGazette