Sebanyak 600 unit alat teknologi penstriman (android box) pelbagai jenama bernilai RM404,500 dirampas dalam satu serbuan premis perniagaan di Jalan Mutiara, Skudai, Johor, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 600 unit alat teknologi penstriman (android box) pelbagai jenama bernilai RM404,500 dirampas dalam satu serbuan premis perniagaan di Jalan Mutiara, Skudai, Johor, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit.

“Serbuan yang bermula pukul 1 tengah hari itu dengan kekuatan seramai empat anggota penguat kuasa Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum tindakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Azman, penahanan wanita berkenaan bagi membantu siasatan terhadap kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Menurutnya, sekiranya disabit kesalahan individu bertanggungjawab boleh didenda tidak kurang daripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Justeru, Azman mengingatkan peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini yang mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya tanpa kebenaran.

“Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi,” tambahnya.

Jelasnya, KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu yang memberi penekanan dalam usaha membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan. – MalaysiaGazette