Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik merasakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) adalah waktu terbaik untuknya membuat kemunculan semula dalam arena politik.

Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, timbul kesedaran untuk beliau berbuat demikian memandangkan situasi politik negara yang kini didakwanya semakin berkecamuk.

“Bila saya tengok (situasi politik negara) sudah jadi macam ini (berkecamuk), timbul kesedaran untuk saya buat sesuatu dan bantu Bersatu.

“Sekarang orang (ahli Parlimen) melompat sana sini, tidak boleh jadi macam ini lagi. Kita kena sambut satu parti yang benar-benar akan jadi majoriti dan boleh buat keputusan dengan kukuh.

“Kita jadi lagi teruk dari Indonesia, malu negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk rekod, kali terakhir bekas Naib Presiden UMNO itu bertanding adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995.

Jelas Abdul Rahim lagi, ada bahagian Bersatu yang mencalonkan beliau untuk bertanding di kawasan mereka.

“Saya orang luar tapi mereka nak saya jadi calon Bersatu di kawasan itu. Jarang-jarang berlaku sebab saya tak bertanding (jawatan ketua bahagian) di situ. Tapi sambutan di sana okey nampaknya.

“Akar umbi pun terima saya dan sambutan bagus di sana,” katanya lagi.

Abdul Rahim adalah Ketua Menteri Melaka keenam pernah menjadi Ahli Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelemak sebelum digugurkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Beliau menyertai Bersatu pada Disember 2018 selepas 40 tahun berjuang dalam UMNO. – MalaysiaGazette