Lim Kit Siang.-foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa telah merendahkan kedudukan Peguam Negara (AG)  dalam Perlembagaan selepas mengarahkan siasatan terhadap Tan Sri Tommy Thomas.

Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang mendakwa, Ismail Sabri sedang membawa kemunduran terhadap keadilan apabila mengambil tindakan terhadap bekas Peguam Negara yang dilantik ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu.

Kit Siang menegaskan Tommy mempunyai kuasa Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan.

“Peguam Negara ‘mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera’.

“Ismail Sabri sepatutnya menjunjung Perlembagaan dan bukannya merendahkan Perlembagaan seperti yang dilakukannya dalam ucapannya di Bagan Datuk di mana dia telah mengarahkan Peguam Negara Idris Harun, untuk mengambil tindakan terhadap Tommy di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA), undang-undang fitnah dan undang-undang lain.

“Dan bahawa dia telah menyahrahsiakan laporan siasatan ke atas buku Thomas supaya laporan ini dapat digunakan sebagai ‘peluru’ politik untuk menyerang Pakatan Harapan,” kata Kit Siang.

Kit Siang mendakwa Ismail Sabri memperbodohkan peruntukan Perlembagaan mengenai kebebasan Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding.

Penyandang kerusi Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tindakan tersebut merupakan satu contoh jelas kes penindasan politik yang disorokkan di sebalik satu siasatan dan pendakwaan.

Ismail Sabri sebelum ini telah membenarkan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in The Wilderness tulisan Tommy dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum.

Laporan itu menyenaraikan sembilan ele­men salah laku Tom­my.

Antaranya campur tangan beliau dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia ke­­rajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk me­wakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.

Selain itu, Tommy turut tidak patuh dengan peraturan dan pe­­keliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bu­ngah, Pulau Pinang.

Bekas Peguam Negara itu turut dikesan melakukan pecah amanah apabila beliau mendedahkan per­bualan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

Pasukan Petugas Khas berkata, terdapat kemungkinan buku itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen.

Ini termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.

Laporan itu menyebut, dalam satu bahagian buku tersebut turut mencetuskan persepsi bahawa penyingkiran bekas Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad seolah-olah dilakukan demi ke­pentingan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

Laporan sama menyatakan Tommy telah melibatkan diri dalam pelantikan anggota kanan Mahkamah Tinggi, sedangkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelantikan Kehakiman, 2019, tiada peranan boleh dimainkan Peguam Negara dalam pelantikan hakim ke Mahkamah Tinggi.

Pada masa sama, laporan itu menegaskan bahawa Tommy melalui bukunya didakwa cuba mencetuskan ketegangan antara kaum di Malaysia, malah menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak cuba melakukan rampasan kuasa melalui peristiwa 13 Mei, 1969.

Kata laporan itu, tulisan tersebut berbaur hasutan dan harus disiasat di bawah tiga akta iaitu Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 124I Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette