Lebih 1,500 pelajar Universiti Melaysia Pahang (UMP) menghadiri Forum Bual Bicara Undi 18: Apa Orang Muda Perlu Tahu? di Gambang, Kuantan baru-baru ini.

KUANTAN – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan melakar sejarah penglibatan pengundi muda mendorong Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program kesedaran Undi 18.

Penganjuran Forum Bual Bicara Undi 18: Apa Orang Muda Perlu Tahu? merupakan platform untuk memberi pendedahan kepada para pelajar universiti untuk lebih memahami mengenai Undi 18.

Ia diadakan di Kampus UMP di Gambang pada Sabtu lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, lebih 1,500 pelajar baharu UMP menimba pengalaman menerusi perbicangan dalam forum tersebut.

“Program anjuran Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ini bertujuan memberi pendedahan buat generasi muda hari ini mengenai persediaan menghadapi pilihan raya yang merupakan sebahagian penentu masa depan negara.

“Jika dahulu, kelayakan mengundi adalah berumur tidak kurang daripada 21 tahun namun kini kerajaan telah meluluskan kelayakan mengundi dibuka kepada mereka berusia 18 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baginya, ini membuktikan kerajaan mempercayai golongan anak muda dan mereka pula jangan mudah terpedaya dengan momokan isu melibatkan sesitiviti agama dan kaum tetapi perlu memfokuskan isu-isu yang berasaskan kepimpinan yang  memajukan negara.

Tambahnya lagi, golongan muda diiharapkan  dapat melaksanakannya  secara terbaik berasaskan platform dan dasar-dasar yang diutarakan oleh kerajaan serta berasaskan kepimpinan yang mantap.

Beliau juga berharap menerusi program yang sama, pelajar dapat menimba ilmu dengan sebaiknya pada program yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah. – MalaysiaGazette