GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hampir setengah bilion orang berisiko menghidap penyakit jantung, obesiti, diabetes atau penyakit tidak berjangkit lain yang disebabkan oleh ketidakaktifan fizikal antara 2020 dan 2030.

Menurut laporan WHO, dunia bakal kehilangan AS$27 bilion setahun jika kerajaan-kerajaan gagal mengambil tindakan segera.

Laporan status global mengenai aktiviti fizikal 2022 mengukur berapa banyak kerajaan melaksanakan pengesyoran untuk meningkatkan aktiviti fizikal secara menyeluruh dan WHO mengatakan mereka gagal.

“Kami memerlukan lebih banyak negara untuk meningkatkan pelaksanaan dasar menyokong orang ramai menjadi lebih aktif dengan berjalan kaki, berbasikal, sukan dan aktiviti fizikal lain.

“Faedahnya sangat besar, bukan sahaja untuk kesihatan fizikal dan mental individu, tetapi juga untuk masyarakat, persekitaran dan ekonomi,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus.

Menurut laporan itu, pandemik Covid-19 mendedahkan kepentingan aktiviti fizikal yang kerap baik untuk kesihatan mental dan fizikal.

Ia juga menunjukkan ketidaksamaan dalam akses dan peluang bagi sesetengah komuniti untuk aktif secara fizikal.

Data dari 194 negara menunjukkansecara keseluruhan, kemajuan adalah perlahan dan kerajaan mesti mempercepatkan dasar mengenai peningkatan tahap aktiviti fizikal untuk mencegah penyakit dan mengurangkan beban pada sistem penjagaan kesihatan yang sudah terbebani.

Kurang daripada 50% negara mempunyai dasar aktiviti fizikal kebangsaan, yang mana kurang daripada 40% beroperasi.

Hanya 30% negara mempunyai garis panduan aktiviti fizikal kebangsaan untuk semua kumpulan umur.

Beban ekonomi akibat ketidakaktifan fizikal adalah ketara dan kos rawatan kes baharu penyakit tidak berjangkit boleh dicegah (NCD) akan mencecah hampir A$$300 bilion menjelang 2030, sekitar AS$27 bilion setiap tahun, kata laporan itu.

Walaupun dasar negara untuk menangani NCD dan ketidakaktifan fizikal telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 28% dilaporkan sebagai tidak dibiayai atau dilaksanakan. – Agensi