Anggota polis membawa dua beradik lelaki ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan membunuh jirannya seorang anggota Rela dengan memukul menggunakan helmet dan kayu sampai mati di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Dua beradik warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) dalam kejadian pada 9 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh, Shugenthiran Ravindran, 26, dan Mahendran Ravindran, 24,  mengangguk sebagai sebagai tanda memahami pertuduhan dan tiada pengakuan direkodkan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Terdahulu dua beradik yang berstatus penganggur itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pukul 8.30 pagi sebelum dihadapkan di Mahkamah Majistret dengan tangan bergari dan diiringi empat anggota polis.

Turut kelihatan anggota keluarga kedua-dua tertuduh yang dilihat mengesat air mata semasa mereka dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhannya, dua beradik itu telah didapati membunuh Yahya Kamarudin, 45, pada 8 Oktober 2022 di hadapan unit rumah mangsa beralamat BlokA-13-20, Flat Pelangi Damansara, Petaling Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek belasah anggota Rela hingga mati berjaya ditangkap

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal manakala tertuduh diwakili peguambela Gursharon Jit Kaur.

Majistret Zhafran kemudian menetapkan 5 Januari 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat.

Media terdahulu melaporkan pada 8 Oktober lalu, ketika menaiki lif bersama kedua-dua suspek itu, mangsa dipercayai menegur suspek yang dalam keadaan mabuk.

Kemudian mangsa dikejar suspek sehingga ke hadapan rumahnya sebelum dipukul.

Mangsa telah dipukul dengan topi keledar dan kayu sehingga mangsa cedera teruk di kepala dan tidak sedar diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul  Hamid berkata, pada 10 dan 11 Oktober lalu, kedua-dua suspek dicekup dalam satu serbuan berasingan di Penchala dan Kota Damansara sebelum direman sehingga 17 Oktober lalu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast