ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam, lelaki yang dipercayai suspek pertama yang membelasah seorang anggota Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) sehingga maut pada 8 Oktober lalu telah ditangkap.

Manakala rakan suspek masih diburu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner zzMohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 24 tahun itu berjaya diberkas polis dalam serbuan yang dilakukan di kawasan Penchala, Damansara di sini pada jam lebih kurang 10.30 malam semalam.

Suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Tambah beliau, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober ini untuk membantu siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 8 Oktober lalu, seorang anggota Rela maut dipukul menggunakan topi keledar selepas menegur dua lelaki berkenaan yang dalam keadaan mabuk di sebuah flat di Damansara, di sini.

Mohamad Fakhrudin dipetik berkata, kejadian itu berlaku jam 9.15 malam ketika mangsa berusia 45 tahun naik lif bersama suspek.

Mangsa dikejar dua suspek sehingga di hadapan rumah dan memukul mangsa dengan menggunakan topi keledar dan kayu oleh kedua-dua suspek berkenaan sehingga tidak sedarkan diri sebelum jirannya menghubungi polis. – MalaysiaGazette