Gara-gara menuntut cerai daripada suaminya, seorang guru tadika menerima nasib buruk apabila dipukul sehingga mengalami kecederaan di sini semalam.- Gambar hiasan.

AMPANG – Gara-gara menuntut cerai daripada suaminya, seorang guru tadika menerima nasib buruk apabila dipukul sehingga mengalami kecederaan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi pengadu seorang wanita yang bekerja sebagai guru tadika telah pergi ke rumah emak mentuanya.

“Mangsa berusia 30 tahun itu berjumpa dengan suaminya sebelum mengajak suspek untuk pergi ke mahkamah bagi tujuan memfailkan penceraian.

“Suspek yang tidak berpuas hati dan naik berang dengan sikap isteri terus menendang mangsa di bahagian paha dan pinggang mangsa sebanyak dua kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa yang mengalami kecederaan bergegas ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu.

Katanya, bertindak atas aduan, pada hari yang sama, sepasukan polis  Ampang Jaya telah melakukan tangkapan terhadap suspek untuk membantu siasatan.

“Suspek berusia 29 tahun dan bekerja sebagai jurujual telah berkahwin bersama mangsa selama dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan,” katanya.

Suspek telah direman polis di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette