KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia akan melakukan Jelajah Pemuda BN ke seluruh negara bermula Selasa depan dalam usaha memberi penerangan dan penjelasan berhubung dasar parti kepada rakyat.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, fokus utama menerusi program itu ialah pengundi muda, yang akan pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini.
“Mesyuarat khas hari ini bagi penyelarasan peringkat akhir sebelum kita hadapi PRU yang baharu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tengah hari ini, yang mana penamaan calon pada 5 November dan hari mengundi 19 November ini.
“Saya berpuas hati persiapan yang sudah pun dilakukan oleh Pemuda BN di semua 191 Parlimen yang bakal ditandingi oleh calon parti kita.
“Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang menjadi fokus utama kita iaitu pengundi muda. Sudah pasti pendekatan kita tidak jauh beza dengan apa yang kita lakukan di PRN Johor,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda BN di Menara Dato’ Onn hari ini.
Turut hadir, Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong; Ketua Pemuda MIC, Raven Kumar dan Ketua Pemuda PBRS, Prof. Madya Dr. Edwin.
Menurut Asyraf, mesyuarat juga mencapai kata setuju untuk menggerakkan semua jentera Pemuda BN di lebih 13,000 cawangan di seluruh negara termasuk kawasan bandar dan kawasan separa bandar.
Katanya, gerakan ini akan menyaksikan kerjasama pemuda khususnya di kalangan jentera akar umbi agar berada pada tahap maksimum,
Mengenai Jelajah Pemuda BN yang bertemakan Demi Kestabilan dan Kemakmuran, beliau menjelaskan, parti akan menampilkan tokoh muda parti komponen secara bersama di atas pentas.
“Kita akan menjelaskan polisi dan dasar BN yang baik demi kemakmuran rakyat dan kita sebelum ini pun ada rekod baik memastikan kestabilan dapat dicapai. Kita juga ada rekod yang baik memastikan kemakmuran itu dapat kita pertahankan.
“Kita akan menggerakkan semua jentera di peringkat akar umbi secara bersama dan mereka mesti berada di barisan hadapan untuk menangani sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir.
“Kita tahu negara kita sentiasa diberikan rahmat dengan hujan dan banjir kilat boleh berlaku, sepertimana kita saksikan minggu lepas berlaku di beberapa tempat seperti Langkawi,” katanya.
Katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi Pemuda BN yang paling awal turun membantu tujuh keluarga dalam bencana banjir kilat di Langkawi.
“Kita sudah pun pastikan jentera Pemuda BN mesti difokuskan bukan sekadar berkempen, tapi juga membantu rakyat dalam apa juga keadaan,” katanya. – MalaysiaGazette