Abdul Ghani Salleh. Foto FAREEZ FADZIL, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kos bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah dilihat meningkat lebih sekali ganda.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, kos untuk menjalankan PRU-15 dianggarkan melibatkan peruntukan RM1.01 bilion.

“PRU-15 dan PRK DUN N.66, Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah.

Untuk rekod, SPR pada PRU-14 tahun 2018 dianggarkan mencecah RM400 juta sahaja.

Kenyataan itu dibuat Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan kos itu termasuk menampung kos sewaan, perolehan peralatan, pembayaran elaun serta honorarium.

Dalam pada itu, menurut Abdul Ghani, sejumlah 21,173,638 pengundi direkodkan akan keluar mengundi pada PRU-15 yang ditetapkan pada 19 November depan.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada daftar pemilih terkini tambahan yang didaftarkan sehingga Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober lalu.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRU-15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

DPPR bagi PRU-15 dijadualkan akan mula dijual pada 31 Oktober 2022, katanya.

Sejumlah 363,515 petugas SPR dilantik bagi mengendalikan proses PRU Ke15 dan PRK DUN N.66, Sabah dan sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi dan saluran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat Malaysia mengundi pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov