Ruslan (batik hijau) bersama peserta Persidangan Masjid peringkat Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperluaskan fungsi masjid dengan menjadikan sebagai pusat transit kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Ruslan Said berkata, mangsa yang diberi perlindungan melibatkan lelaki dan perempuan tanpa mengira kaum serta agama.

“Ia dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan rohaniah.

“Inisiatif ini di bawah Pelan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, yang mana di Wilayah Persekutuan contohnya, mangsa boleh mendapatkan perlindungan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

“Di pusat transit ini, mangsa diberi kaunseling dan bimbingan rohaniah oleh pegawai masjid serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terlatih,” katanya ketika merasmi penutup Persidangan Masjid peringkat Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa akan tinggal di asrama, diberi makan minum sepanjang berada di situ, selain disediakan set persalinan pakaian, selimut, tuala dan peralatan kebersihan diri.

Katanya, Jakim mengambil tanggungjawab itu untuk menjadi jambatan penghubung dan penyatu umat Islam, di samping menerapkan pengukuhan integrasi dalam program dan aktiviti pemahaman kepada masyarakat.

Menurut beliau, impak positif dapat dicapai menerusi interaksi, komunikasi dan pengalaman itu, apabila umat Islam lebih memahami dan menghargai perpaduan serta menghormati perbezaan.

Selain itu, kata beliau, fungsi dan peranan masjid di seluruh negara perlu diperkukuhkan dengan keupayaan serta pelaksanaannya dipertingkatkan ke arah mewujudkan masjid cemerlang dan berketrampilan serta kondusif.

“Selaras dengan hasrat ini, prestasi masjid perlu sentiasa dinilai bagi memastikan perkhidmatannya dapat disampaikan dengan cekap dan berkesan.

“Melalui Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang sedia ada dapat membantu masjid dalam mengukur tahap fungsi dan peranan secara holistik ke arah mengekalkan prestasi dan pencapaian masjid.

“Harapan saya agar persidangan ini mampu membuka ruang kesedaran yang lebih luas kepada seluruh umat Islam untuk memahami kefungsian masjid dengan lebih luas, bukan hanya tempat melaksanakan solat semata-mata,” katanya.

Kata Ruslan, bahkan ianya merupakan institusi masjid yang mampu menjadi one-stop centre dalam semua bidang dan hala tuju ke arah memartabatkan institusi itu sebagai pusat dakwah dan kemasyarakatan. – MalaysiaGazette