Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 10.05 pagi ini bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah turut dibincangkan dalam mesyuarat khas itu.

Sejurus selepas mesyuarat yang dijadual berakhir 12 tengah hari, SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, hari pengundian serta tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan untuk melaksanakan PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu dijangka berlangsung selama kira-kira dua jam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, Setiausaha Datuk Ikmalrudin Ishak, ahli-ahli SPR iaitu Datuk Chin Phaik Yoong, Zoey Randhawa, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, Datuk Awang Sahari E.M Nadzeer dan Datuk Nik Ali Mat Yunus serta pegawai-pegawai kanan SPR.

Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRU kali ini berbeza apabila beberapa DUN tidak dibubarkan iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang manakala tiga negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN masing-masing untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU15.

Sebelum ini, PRU yang menyaksikan pilihan raya di peringkat Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali Sarawak dijalankan secara serentak.

 

 

— BERNAMA