KUALA LUMPUR – Sejumlah 21 juta pengundi di negara ini akan menjadi penentu kepada masa depan Malaysia, kata Presiden Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Oleh yang demikian, bekas Ahli Parlimen Muar itu menyeru agar semua pengundi dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 19 November depan.
“Saya dan Parti MUDA akan fokus kepada dasar politik dan khidmat untuk rakyat. Itu adalah prioriti kami. Jom buat pilihan raya yang sihat.
“Biarkan rakyat memilih apa yang mereka fikir terbaik untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan 19 November depan sebagai tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Hari penamaan calon pula ditetapkan 5 November depan sementara hari pengundian awal adalah pada 15 November 2022.
Bagi PRU kali ini, sejumlah RM1.01 bilion diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kali ke 15 yang diadakan di 222 kerusi Parlimen.
Selain itu tiga buah negeri iaitu Perak, Pahang dan Perlis turut menjalankan Pilihan Raya Negeri serentak bersama-sama dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya. – MalaysiaGazette