KUALA LUMPUR – Saman oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan pembubaran Parlimen adalah bersifat akademik dan tidak relevan.
Peguam mewakili ketiga-tiga defendan itu, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata, ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumum tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk tarik mengundi pada hari ini.
“Saman pemula ini wajar ditolak kerana sudah bersifat akademik,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.
Pada 11 Oktober lalu, Charles selaku plaintif memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan PRU15.
Kata Zulkefli, saman pemula itu dianggap bersifat skandal, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Jelasnya, isu seperti pembubaran Parlimen tidak sesuai dibicarakan atau diberikan justifikasi. – MalaysiaGazette