Pengunjung teruja merakamkan pertunjukan dari artis akrobatik pada pertunjukan sarkas, Great British Circus di Ayer Keroh, Melaka yang diadakan sehingga 13 November ini.

MELAKA – Melaka menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung pada pertunjukan akrobatik dan sarkas, Great British Circus di sini sehingga November ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sejak penganjurannya
di Dataran Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Ayer Keroh di sini Sabtu lalu, ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Melihat kepada sambutan positif bermula Sabtu lalu, tidak mustahil persembahan dari artis luar negara itu akan dimasukan dalam kalendar pelancongan 2023.

“Saya yakin, acara ini mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke Melaka yang tentu sekali teruja menyaksikan persembahan selama lebih dua jam ini dengan sasaran 30,000 pengunjung selama sebulan persembahan ini diadakan,” katanya.

Muhammad Jailani

Beliau kepada pemberita selepas menyaksikan pertunjukan Great British Circus di Dataran PKNM di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri juga sedang merancang untuk bekerjasama dengan penganjur untuk memperhebatkan lagi promosi pertunjukan itu.

“Dengan kerjasama itu mungkin kita boleh lahirkan persembahan artis akrobatik dari Malaysia sendiri khususnya Melaka.

“Pelbagai pelbagai aktiviti pelancongan sudah dirancang sepanjang tahun ini untuk mencapai sasaran lima juta pelancong ke Melaka tahun ini,” katanya.

Pertunjukan Great British Circus diadakan sehingga 13 November ini dengan harga tiket antara RM25 hingga RM80 bagi setiap individu mengikut kategori dewasa dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette.