Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang di Balok, di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang di Balok, Kuantan hari ini.

Seri Paduka diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) terletak di persisiran pantai Perkampungan Balok Baru Balok itu diwujudkan hasil kolaborasi pintar antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Yayasan Pahang (YP).

Seri Paduka mencemar duli menyantuni 102 pelajar dan warga pendidik maahad dan bersantap ketika majlis perasmian kompleks itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata,  bangunan yang dahulunya sebuah pusat peranginan Muara Beach Resort telah diambil alih oleh PKPP untuk dijadikan  Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang pada tahun 2015.

“PKPP memainkan peranan penting apabila   memberi sumbangan yang amat besar dalam penubuhan MTTNP iaitu RM 10 juta ringgit dalam bentuk tanah seluas tiga ekar dan pengubahsuaian bangunan  selain   geran tahunan   RM700, 000  setahun.

“Manakala YP pula bertanggungjawab dalam pengoperasian dan biasiswa pelajar. Sehingga kini, lebih dari RM5 juta ringgit telah dibelanjakan iaitu peruntukan sebanyak RM2.5 juta   setahun,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian  yang sama.

Misi MTTNP adalah untuk  menjadi sebuah institusi yang terkemuka di Malaysia dalam melahirkan ulamak yang menguasai ilmu turath dan visinya adalah berusaha melahirkan ilmuan Islam yang bukan hanya pada ilmunya tetapi juga meliputi adab, tarbiah, tazkiah dan tarqiah.

MTTNP memfokuskan pengajian kitab kuning atau kitab klasik yang ditulis oleh ulamak-ulamak muktabar ratusan tahun dahulu seperti Imam Syafi’e, Imam Nawawi, Imam Al-Ghazali meliputi pengajian Kitab Feqah, Aqidah, Tasauf dan Bahasa Arab.

Difahamkan kaedah pembelajaran di maahad tahfiz diberi nafas baharu menggunakan  pendekatan moden namun masih mengekalkan ciri-ciri  tradisional dalam sanad keilmuan, tarbiah dan adab dalam sistem pengajiannya.

Selain pengajian kitab turath, pelajar juga disasarkan menghafaz 30 juzuk al-Quran serta cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) melalui subjek akademik seperti sains, matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan sebagainya.

Maahad Tahfiz Turath mula beroperasi pada tahun 2020 dengan purata pengambilan seramai 25 orang pelajar setiap tahun di mana fasa 1 Kompleks MTTNP  boleh menampung maksimum 125 orang pelajar pada satu-satu masa manakala fasa 2 yang   akan bermula pada tahun 2023 boleh menampung maksimum 300 pelajar.

Maahad itu kini mempunyai 102 pelajar iaitu Tingkatan 1 (26 orang), Tingkatan 2 (51 orang) dan Tingkatan 3 (25 orang). – MalaysiaGazette