Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey beramah mesra dengan pengunjung India semasa meninjau harga barangan kawalan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum musim Perayaan Deepavali 2022 di Lotus, The Paradigm Mall, Kelana Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 93 aduan dan membuka 180 kertas siasatan berhubung bekalan ayam dan telur bagi tempoh 5 Februari hingga semalam

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 5,999 premis untuk tempoh tersebut.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, pegawai penguatkuasa akan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

“Kedua-dua barangan itu masih dalam pewartaan barangan harga terkawal KPDNHEP yang telah berkuatkuasa sejak 12 Oktober yang lalu.

“Setakat ini, pemantauan kami juga mendapati bekalan ayam dan telur ayam di Selangor adalah stabil,” katanya pada sidang media selepas meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022, di sini, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey menunjukkan harga barangan kawalan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum musim Perayaan Deepavali 2022 di Lotus, The Paradigm Mall, Kelana Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2022.

Sementara itu, Mohd Zuhairi berkata, seramai 260 pegawai penguatkuasa dan 67 pegawai pemantau harga akan terlibat dalam tugas pemantauan sepanjang SHMMP Deepavali yang bermula semalam sehingga 26 Oktober ini.

Jelas beliau, pemeriksaan itu akan menumpukan kepada pematuhan peniaga runcit dan borong terhadap penggunaan tanda harga merah jambu bagi lapan jenis barangan harga terkawal maksimum di bawah SHMMP Deepavali.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey meninjau harga barangan kawalan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum musim Perayaan Deepavali 2022 di Lotus, The Paradigm Mall, Kelana Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2022.

Menyentuh mengenai bekalan minyak masak paket, beliau menasihatkan peniaga supaya menjual tiga paket minyak itu kepada setiap pembeli untuk mengelak penyalahgunaan barangan itu.

Ditanya tentang kes pemborong telur di Meru, Klang yang mengenakan caj pengendalian tambahan sebanyak 60 sen kepada pembeli seperti tular di media sosial, Mat Radey berkata, siasatan sedang dijalankan dengan KPDNHEP Melaka.

Menurut beliau, pihaknya telah merakam keterangan daripada pemborong terbabit yang mendakwa caj pengendalian berkenaan dikenakan berikutan caj sama dikenakan oleh pembekalnya dari Melaka. – MalaysiaGazette