Sekumpulan lelaki didakwa melakukan provokasi di acara ceramah parti MUDA di Muar malam tadi.

KUALA LUMPUR – Majlis Malam Mesra Muo dan pelancaran jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Jalan Bakri di sini, diganggu insiden provokasi kira-kira 20 lelaki sekitar jam 9.40 malam tadi.

Ketua Penerangan MUDA Muar, Muhammad Amir Fiqri Mustapha berkata,  kumpulan berkenaan turut mengeluarkan kata-kata kesat, tolak menolak, melemparkan mercun dan merosakkan sebuah kereta penyokong MUDA di perkarangan tempat letak kenderaan sebuah dewan.

Insiden berlangsung antara 15 hingga 20 minit itu terlerai selepas kumpulan berkenaan lari sebaik mercun dilemparkan, lapor Berita Harian.

“Mereka memakai topeng muka dan dipercayai kumpulan sama membuat provokasi dalam acara di ibu pejabat MUDA di Parit Pecah sebelum ini.

“Belum ada laporan kecederaan diterima dan kami akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar jika perlu,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.

Salah sebuah kereta yang didakwa turut membuat gangguan dalam acara politik parti MUDA.

Dalam pada itu, Pegawai Komunikasi Ahli Parlimen Muar, Farhan Iqbal, kesal kerana insiden provokasi berulang.

“Seorang ahli MUDA turut melecur di tangan kerana menangkap mercun dan membuangnya, selain ada yang ditolak ahli kumpulan berkenaan seolah-olah mahu menumbuk.

“Sebelum ini mereka hanya mengeluarkan kata-kata kesat tetapi kali ini lebih bersedia memakai topeng muka dan memakai baju berhud.

“Kami ada dapat maklumat awal mungkin berlaku provokasi dan memang betul ia berlaku,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, majlis ceramah dikendalikan MUDA dicemari insiden provokasi sekumpulan ‘mat motor’ di Parit Jawa, Muar. – MalaysiaGazette