Aminuddin Md. Hanafiah

IPOH – Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah dijangka bakal dipilih oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon itu telah dicadangkan Badan Perhubungan UMNO Perak.

“Calon (BN) di Tambun yang dicadangkan ialah Ketua UMNO Bahagian Tambun yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri iaitu Datuk Aminuddin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di Hutan Melintang dekat Bagan Datuk hari ini.

Khamis lepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

Pada PRU14, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata percubaan PH untuk mempertaruhkan Anwar pada PRU15 di Perak, amat dialu-alukan.

“Perak adalah tempat kubu kuat BN, namun kalau mana-mana parti mahu, mencuba kita mengalu-alukan percubaan mereka,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada persoalanan sama ada penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan dicalonkan semula di kerusi Parlimen berkenaan, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti.

Menurutnya perkara sama turut diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti bagi mengenal pasti kerusi yang sesuai untuk Khairy Jamaluddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan beliau memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 nanti. – BERNAMA