Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Momentum belian daripada pelabur institusi dijangka memberi sokongan kepada Bursa Malaysia pada minggu depan dalam persekitaran sentimen pasaran berhati-hati di rantau ini, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka FBM KLCI akan meneruskan aliran meningkatnya dalam julat 1,430-1,460 minggu depan dengan paras halangan segera pada 1,470 dan paras sokongan pada 1,400.

Katanya pasaran ekuiti global amat tidak menentu baru-baru ini berikutan pelabur bimbang ekonomi utama akan mengalami kemelesetan sebelum inflasi terkawal.

Seorang lagi peniaga berkata,  pengumuman tarikh pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah memberi sokongan kepada pasaran.

FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,446.42 pada Jumaat, didorong oleh momentum belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi perbankan terpilih selepas pengumuman tarikh pengundian PRU15 pada 19 Nov.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 63.95 mata kepada 1,446.42 daripada 1,382.47 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 362.58 mata kepada 10,220.90, FBM 70 naik 123.93 mata kepada 12,028.63 dan Indeks FBMT 100 meningkat 363.0 mata kepada 9,970.46.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 342.61 mata kepada 10,197.40 dan FBM ACE naik 149.17 mata kepada 4,801.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 637.60 mata kepada 16,511.08, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 5.88 mata kepada 172.76, Indeks Perladangan menambah 385.40 mata kepada 6,807.27 dan Indeks Tenaga menokok 10.86 mata kepada 679.55.

Pada minggu dagangan tersebut, jumlah dagangan mingguan naik kepada 11.36 bilion unit bernilai RM9.03 bilion daripada 8.48 bilion unit bernilai RM6.87 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.24 bilion saham bernilai RM7.85 bilion daripada 5.38 bilion saham bernilai RM6.03 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.41 bilion unit bernilai RM232.65 juta daripada 1.33 bilion unit bernilai RM195.11 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.71 bilion saham bernilai RM287.66 juta daripada 1.77 bilion saham bernilai RM639.07 juta.  – BERNAMA