Gambar hiasan

KESELAMATAN merupakan asas penting dalam persekitaran pembelajaran. Kawasan dan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif menjadi perkara penting dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar. Bukan sahaja penekanan aspek keselamatan di rumah malah di sekolah, kolej dan universiti juga turut memainkan peranan penting untuk memastikan kawasan pembelajaran selamat digunakan oleh pelajar. Mutakhir ini, berita kejadian kipas siling jatuh dalam bilik darjah mengundang persoalan isu keselamatan yang diambil enteng oleh beberapa pihak bertanggung jawab. Kejadian ini mengejutkan masyarakat dan ia haruslah dipandang serius untuk mengelakkan bencana seperti ini tidak berulang lagi.

Kejadian tersebut yang berlaku di Selama, Perak telah mengakibatkan tiga orang pelajar cedera dan seorang daripada mereka mengalami patah jari tangan dan cedera di dada. Perkara sebegini memberikan impak negatif dan trauma kepada para pelajar dan mereka memerlukan sokongan dan perhatian untuk pulih daripada kejadian yang berlaku. Persekitaran sekolah yang selamat juga turut ditekankan oleh seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang pada tahun 2016, Dr. Mohammad Affendy yang menyatakan bahawa struktur bangunan yang selamat menjadi salah satu aspek yang perlu diberi penekanan untuk memastikan sekolah selamat digunakan. Menurutnya, keadaan bangunan perlu dipastikan selamat daripada sebarang punca yang boleh menyebabkan bangunan runtuh dan mendap.

Selain itu, keadaan siling dalam setiap bangunan perlu sentiasa dipantau dan diperiksa secara berkala bertujuan untuk mengelakkan sebarang bencana yang tidak diingini berlaku. Malah, keadaan tiang bangunan di struktur dalam dan luar yang berfungsi menyokong struktur utama bangunan perlu diperiksa bagi mengelakkan kejadian runtuhan bangunan berlaku. Perkara sebegini perlulah diberi penekanan yang lebih bagi bangunan sekolah yang berusia lama. Hal ini bertujuan untuk memastikan tiada sebarang kecelakaan yang tidak diingini berlaku.

Susulan kejadian tersebut, rungutan ibu bapa pelajar juga turut menyuarakan rasa kesal kepada pihak sekolah yang mengambil langkah untuk menunggu ibu bapa pelajar yang cedera membawa anak untuk dihantar ke hospital sendiri dan melewatkan proses mendapat rawatan dengan perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan dengan mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan prosedur lain. Hal ini kerana, apa jua situasi yang melibatkan kes kecemasan perlu diberikan tindakan proaktif untuk menyelamatkan pelajar yang mengalami kecederaan.

Pematuhan prosedur perlulah memudahkan mangsa untuk segera dibawa menerima rawatan dan bukan mengambil masa yang lama untuk menguruskan penghantaran pelajar terbabit ke hospital. Pihak bertangunggjawab perlulah cakna untuk menyelamatkan keadaan dari menjadi parah. Tindakan segera perlu diambil untuk mengelak perkara buruk terjadi. Selain itu, ciri-ciri sekolah selamat berdasarkan Kementerian Pelajaran Malaysia 2002, menekankan aspek keselamatan fizikal dan peralatan elektrik perlu merangkumi keselamatan dalam pendawaian dan peralatan elektrik, keselamatan tandas, makmal sains, bengkel, perpustakaan, padang dan gelanggang permainan, stor, kebun, keselamatan peralatan, kerosakan perabot kelas, keselamatan penghuni asrama, keselamatan di kawasan sunyi dan gelap serta keselamatan semua bangunan dalam kawasan sekolah. Justeru, pihak sekolah perlu sentiasa membuat semakan dan pemantauan secara berkala dan kerap utuk memastikan keselamatan pelajar semasa mengikuti pembelajaran dan aktiviti di luar sekolah terjamin selamat. Malah, segala perkakas dan perlatan elektrik yang lama dan telah berkarat perlu ditukar kepada yang baharu.

Kesimpulannya, pihak sekolah seharusnya mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan pelajar terjamin. Keselamatan dan kesejahteraan pelajar semasa berada di dalam kawasan sekolah perlu diberi keutamaan dan dipandang serius. Kecelakaan yang berlaku perlu dielakkan demi menjaga kesejahteraan dan kebajikan para pelajar. Pepatah Melayu ada mengatakan sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Justeru, insiden seperti
ini perlu diambil pedoman untuk mengelak kemalangan jiwa dan perkara yang tidak diingini berlaku.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)