Kontena yang berisi Palm Wax yang diisi di dalam dua kontena hilang. Foto Ihsan IPD Klang Selatan.

KLANG – Tiga suspek termasuk pasangan kekasih ditahan Rabu lalu kerana disyaki mencuri 2,202 kotak berisi lilin sawit (palm wax) bernilai RM80,000 yang disimpan di dalam dua kontena di kawasan perindustrian Pandamaran, di sini.

Pasangan kekasih itu merupakan pekerja syarikat berkenaan manakala seorang lagi bekas pekerja.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kecurian itu hanya disedari selepas pemeriksaan dibuat di dua kontena terbabit pada jam 11.30 pagi, Isnin lalu.

“Pegawai yang memeriksa terkejut apabila 2,202 kotak berisi bahan palm wax sejenis bahan campuran yang digunakan untuk produk kosmetik dan kecantikan telah dicuri,” katanya.

Barang tersebut diimport dari India dan telah disimpan di dalam dua kontena berkenaan pada 8 Oktober sementara menunggu penghantaran ke luar negara yang sepatutnya dilaksanakan pada 18 Oktober lalu.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati seorang pekerja daripada syarikat tersebut telah masuk dalam keadaan mencurigakan sebelum merosakkan rakaman CCTV di kawasan kejadian.

Hoong Fong berkata, pasangan kekasih itu baru bekerja enam bulan sebagai pegawai operasi dan kerani dokumentasi logistik manakala seorang lagi adalah bekas pekerja yang disyaki merancang jenayah itu.

Kesemua suspek telah ditangkap.

Tambahnya, kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan kes dadah.

Ketiga-tiga suspek direman empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri harta milik kerajaan. – MalaysiaGazette