Young Syefura Othman.- Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Ketari Young Syefura Othman telah menghantar notis tuntutan permohonan maaf kepada seorang pempengaruh media sosial, Muhamad Harris Nasril.

Melalui Ezzah Elia & Associates, pemimpin DAP itu menuntut permohonan maaf terhadap satu hantaran yang dibuat Muhamad Harris di media sosial yang didakwa bersifat memfitnahnya.

Katanya, kenyataan Muhamad Harris secara innuendo (tersirat) merujuk kepada Young Syefura kerana beliau sahaja yang bertanding dan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau juga ahli politik yang berkahwin sebelum bertanding dan bercerai selepas pilihan raya.

“Anakguam kami adalah seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan juga ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Ketari.

“Sebagai ahli politik, anakguam kami dihormati dan dihargai oleh rakyat. Walau bagaimanapun, tindakan pihak tuan mengeluarkan kenyataan itu telah menjejaskan nama baik anakguam kami.

“Melalui kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh pihak tuan terhadap anakguam kami, pihak tuan cuba menyebarkan idea bahawa anakguam kami bukanlah seperti yang digambarkan di media massa,” katanya.

Muhamad Harris diberikan tempoh 24 jam untuk membuat permohonan maaf terhadap hantaran yang dilakukan pada 19 Oktober.

Sekiranya beliau gagal berbuat demikian Young Syefura akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Muhamad Harris.

Dalam hantaran tersebut Muhamad Harris menulis, terdapat seorang ahli politik yang telah meminta suaminya membuat pinjaman peribadi sebagai dana untuk bertanding.

Ahli politik terbabit menang dan kemudiannya bercerai serta berkahwin lain. Bekas suami ahli politik berkenaan terpaksa menanggung hutang yang dibuat.

Muhamad Harris bagaimanapun tidak menyebut nama wakil rakyat tersebut dan nama parti yang terbabit dalam hantaran itu.

Beliau turut mendakwa kejadian berkenaan adalah satu rekaan dan berlaku di ‘planet zargus’.

Sementara itu dalam reaksinya, Muhamad Harris menegaskan, tidak ada keperluan untuk beliau meminta maaf.

“Oleh kerana hantaran saya tidak merujuk kepada anakguam loyaDAP malah dipersetujui oleh beliau ia adalah rekaan, maka saya berasa tiada keperluan untuk saya meminta maaf atau memadam hantaran yang menjadi tular di planet Facebook dan Twitter ketika ini.

“Walau bagaimanapun, saya akan menjawab surat tuntutan ini secara rasmi melalui peguam yang akan dilantik kelak,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam media sosial.-MalaysiaGazette