Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UMNO disifatkan akan ‘membunuh diri’ dalam politik tanah air sekiranya menjalinkan bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata Setiausaha Politik perdana menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad.

Syed Fahmi berkata, DAP yang merupakan salah satu komponen Pakatan Harapan (PH) tidak pernah akan disukai oleh orang Melayu yang selama ini menjadi penyokong terbesar dalam UMNO.

“Jika UMNO bekerjasama membentuk kerajaan campuran dengan PH yang di dalamnya ada DAP, orang Melayu akan rasa dikhianati dan PRU15 mungkin menjadi kali terakhir mereka akan mengundi UMNO.

“Pada masa yang sama, saya juga merasakan DAP juga akan menuju kehancuran jika bekerjasama dengan UMNO kerana asas penyokongnya adalah masyarakat Cina yang benci pada UMNO, kedua-dua akan merasa dikhianati oleh pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak akan bekerjasama dengan parti ‘pak lebai’ selepas PRU15.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada Pas yang pernah menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) pada 2019 lalu.

Dalam pada itu, Syed Mohd Fazmi berkata, sekiranya terdapat gerakan bawah tanah untuk merealisasikan impian tersebut, ia perlu dibawa semula ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Ini kerana, keputusan untuk menolak PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat di perhimpunan berkenaan dan dipersetujui oleh akar umbi UMNO.

“Apapun gerakan bawah tanah mesti dapat persetujuan daripada akar umbi dan perwakilan, itu wajib. Tidak ada isu kata kita nak kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu sebab ia memang sudah diputuskan,” katanya.

Jelas beliau lagi, sekiranya impian itu mahu dilaksanakan, ia perlu dibawa selepas PRU15.

“Itu kita kena tengok selepas PRU15, sebab Pengerusi BN ddah maklumkan bahawa kita tidak akan kerjasama untuk bentuk kerajaan dan sebagainya.

“Jadi kita pegang kepada kata-kata itu, buat masa ini dakwaan itu adalah berkaitan dengan kerjasama dengan PKR, DAP tidak akan berlaku,” katanya lagi.

Sebelum ini, timbul desas desus PKR akan menyertai jajaran baru yang akan dibuat bersama-sama UMNO pasca PRU-15 bagi membentuk kerajaan campuran.

Malah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mendakwa ada perbincangan sulit antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  dan Ahmad Zahid.

Ia bagaimanapun dinafikan dua pimpinan PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Nurul Izzah Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast