Mayat wanita ditemukan rentung dalam kereta terbakar selepas dua kereta terlibat kemalangan di Lebuhraya MEX, Kuala Lumpur awal pagi tadi. Ihsan Bomba KL.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 10.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) di sini hari ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Khairuddin Abdurrahman berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 pagi.

Ketika pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati. sebuah kereta telah musnah 100 peratus dan mendapati mangsa rentung di bahagian tempat duduk pemandu.

Katanya, kereta yang terbakar itu turut dinaiki seorang lelaki dan tiga wanita tetapi hanya lelaki itu mengalami kecederaan di kepala.

Manakala, lelaki yang memandu sebuah kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat dan kes tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette