KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan lebih banyak berita mengenai Barisan Nasional (BN) disiarkan berdasarkan maklumat daripada ‘sumber’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Justeru beliau meminta rakyat supaya lebih berhati-hati bila membaca atau mendengar berita yang memetik ‘sumber’ yang tidak dinamakan untuk dijadikan bahan laporan.
Ahmad Zahid berkata, dengan hanya berdasarkan sumber yang tidak dinamakan bermakna maklumat yang disiarkan tidak mempunyai asas yang tepat.
“Menjelang PRU15 saya jangkakan lebih banyak laporan tentang BN menggunakan sumber akan dihidangkan kepada rakyat.
“Maka berhati-hatilah supaya kita tidak mudah dimanipulasi oleh pihak yang berselindung di sebalik nama `sumber’.
“Pengalaman PRU14 pada 9 Mei 2018 harus menjadi panduan dan tauladan dalam menilai sesuatu maklumat,” kata Ahmad Zahid.
Sebuah portal berita semalam menyiarkan laporan berdasarkan sumber bahawa Presiden UMNO itu tidak akan bertanding pada PRU15 ini.
Ahmad Zahid menegaskan sumber yang dijadikan laporan berita boleh memetik mana-mana individu termasuk pihak yang mempunyai muslihat tertentu untuk berita itu disiarkan.
Berita tersebut mungkin disasarkan akan menyumbang kepada kepentingan ‘sumber’ atau rakan subahat.
“Sebagai contoh berita yang memetik sumber konon saya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Saya sebagai Pengerusi BN sentiasa menghormati kebebasan media untuk melaporkan berita. Saya sebagai insan amat memahami keperluan media melaporkan bahan untuk meraih perhatian pembaca.
“Bagaimanapun sebagai pembaca perlulah kita meneliti sama ada laporan itu telah dilaporkan dengan asas yang kukuh,” katanya.
Semalam portal berita yang memetik sumber mendakwa, tempat Ahmad Zahid di Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu akan diganti oleh anaknya Nurulhidayah atau orang kanan beliau sendiri.
Menurutnya, pemimpin berusia 69 tahun itu membuat keputusan besar tersebut sebagai satu pengorbanan.
Tindakan itu, dakwa sumber berkenaan agar nama dan isu yang menyelubungi Ahmad Zahid tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU15.
Ahmad Zahid bagaimanapun menafikan laporan itu dan menyifatkan ia sebagai propaganda politik.- MalaysiaGazette