KLANG – Menteri Besar Selangor enggan mendedahkan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen atau sebaliknya.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara berkenaan hanya akan diketahui apabila PKR mengumumkan calon pada 28 Oktober nanti.

“Tunggu pengumuman calon 28 ini,” ringkasnya dalam sidang media di Jelajah Selangor Penyayang yang diadakan di Stadium Sultan Suleiman.

Untuk rekod, Amirudin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, yang terletak dalam Parlimen Gombak.

Amirudin dalam masa yang sama juga merupakan Ketua Cabang Gombak.

Sementara itu, mengulas perutusan Hari Deepavali hari ini bahawa Selangor akan berusaha meningkatkan usaha untuk membela masyarakat India, Amirudin berkata ianya tidak hanya akan tertumpu kepada kewangan sahaja.

Sebaliknya beliau berkata, bantuan yang akan Kerajaan Negeri Selangor tumpukan adalah pembangunan pendidikan, ekonomi kaum berkenaan termasuklah isu penempatan masyarakat tersebut di negeri ini.

“Untuk akan datang kita lihat secara menyeluruh bukan sahaja tambahan kewangan. Tapi banyak lagi termasuk isu penempatan masyarakat India yang majoriti tinggal di bekas ladang kelapa sawit.

“Ini kita sudah selesaikan di sebuah ladang  di Tanjong Karang, kita tolong selesaikan Kampung Sungai Yu.

“Kita lihat isu spesifik yang masyarakat India hadapi termasuk pendidikan dan sekarang keusahawanan,”jelas beliau.

Terdahulu beliau berkata, Selangor akan umum usaha tambahan untuk membantu masyarakat India menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast