BULAN ini sahaja, sudah dua kali program anjuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di kawasan Parlimen Muar dicemari dengan insiden kekecohan.
Kali pertama berlaku pada majlis ceramah anjuran MUDA di Parit Jawa, Muar pada 16 Oktober lalu. Sekumpulan penunggang motosikal membuat bunyi bising ketika Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap.
Penyandang kerusi Parlimen Muar itu serta konco-konconya menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendalangi insiden itu namun telah dinafikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd. Helmy Abd. Latif.
Pemuda UMNO Bahagian Muar juga telah membuat laporan polis dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Syed Saddiq berikutan tuduhan tidak berasas itu.
Malam tadi pula, Majlis Malam Mesra Muo dan pelancaran jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) MUDA Parlimen Muar diganggu oleh sekumpulan lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat, tolak menolak, melemparkan mercun dan merosakkan kereta milik penyokong parti itu.
Mengimbau kembali ke era Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq juga pernah ‘diganggu’ semasa masih menjadi Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dahulu.
Ramai yang masih ingat insiden beliau dikepung sekumpulan individu dalam program di Ulu Tiram, Johor pada 31 Januari 2020.
Kekecohan yang ditimbulkan oleh kira-kira 200 individu menyebabkan Syed Saddiq terpaksa lari meninggalkan program tersebut dengan memanjat pagar di belakang sebuah resort.
Mengenai siapa dalang di sebalik insiden-insiden tersebut, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya agar budaya politik samseng dapat dibanteras dan mereka yang melakukannya dihukum.
Cuma agak menarik untuk difikirkan mengapa kekecohan hanya berlaku dalam program anjuran MUDA atau yang dihadiri Syed Saddiq? Benarkah ada pihak yang ‘takut’ dengan pengaruh dan kelantangan beliau?
Dari segi pengaruh, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jauh lebih berpengaruh daripada Syed Saddiq, malah melangkaui sempadan sehingga ke peringkat global. Setakat ini, program-program yang disertai beliau aman dan damai sahaja.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula suaranya lebih lantang dan lebih pedas berbanding Syed Saddiq. Tiada siapa pun mengacau program jelajah Ayuh Malaysia yang dianjurkannya.
Jadi, di mana silapnya yang menyebabkan Syed Saddiq dan MUDA menjadi sasaran mana-mana pihak yang mungkin tidak senang dengan mereka?
Jawapannya mungkin ada pada Syed Saddiq sendiri. Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan tiba dalam kurang sebulan lagi, eloklah beliau bermuhasabah diri.
Mungkin ada penduduk yang kesal kerana ada janji-janji yang ditabur semasa kempen PRU-14 dahulu masih belum ditepati.
Tidak mustahil juga orang Muar sebenarnya marah dengan PH namun melampiaskannya kepada Syed Saddiq dan MUDA.
Sebagai tokoh muda yang ingin membuat pembaharuan dalam politik tanah air, Syed Saddiq sepatutnya sedar bahawa taktik ‘semua salah UMNO’ sudah tidak lagi berkesan.
Rakyat kini lebih bijak menilai dan tidak menelan sebarang tuduhan melulu terhadap UMNO bulat-bulat, termasuk dalam insiden kekecohan pada 16 Oktober lalu.
Masih belum terlambat untuk Syed Saddiq meminta maaf atas segala kelemahan diri sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Muar selama sepenggal.
Jika Syed Saddiq tersungkur pada PRU-15 sekali pun, sekurang-kurangnya penduduk Muar akan mengenang beliau sebagai seorang pemimpin muda yang berjiwa besar atas kesanggupan mengakui kegagalannya sendiri. – MalaysiaGazette