KUALA LUMPUR – PKR tidak mencalonkan Chan Ming Kai di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk di kerusi Parlimen Alor Setar yang disandangnya selama sepenggal.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam hantaran Facebook miliknya, malam tadi.
Ming Kai berkata, beliau telah dmaklumkan tidak lagi dicalonkan oleh parti untuk mana-mana kerusi.
“Saya sentiasa menyahut seruan pimpinan supaya menerokai kerusi luar bandar, saya telah bercadang agar memberi laluan kerusi sedia ada kepada orang baharu dan mencabar kerusi yang masih belum menang atau dikhianati seperti Bagan Datuk, Pagoh, Gombak atau Ampang.
“Namun keputusan parti setakat ini adalah mencadangkan calon ganti baharu di kerusi Alor Setar sahaja.
“Saya menghormati serta menerima keputusan parti. Terima kasih kepada semua rakyat dan anggota yang memberi sokongan sepanjang 20 tahun perkhidmatan saya dari Perak ke Perlis sehingga Kedah,” katanya.
Sebelum ini, Ming Kai, 42, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan selepas PRU-13 dan ADUN Simpang Pulai selepas PRU-12. – MalaysiaGazette