PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka memerlukan RM300 juta pada tahun depan untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri yang memilih tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak dengan Dewan Rakyat.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, anggaran SPR bahawa RM1.1 bilion diperlukan untuk mengadakan pilihan raya di 222 kerusi Parlimen, 116 kerusi DUN dan pilihan raya kecil di Bugaya, Sabah menunjukkan betapa payahnya untuk mengadakan pilihan raya.
Menurutnya, kos terbesar adalah membabitkan pembayaran elaun dan latihan untuk 370,000 petugas.
Menurutnya, kos pengangkutan dan sewa termasuk untuk laluan udara, air dan darat juga adalah sangat tinggi.
“Jika berlaku banjir besar, SPR juga perlu memikirkan untuk menyediakan trak bagi menghantar pengundi ke pusat mengundi.
“SPR juga perlu menanggung kos pengangkutan dan penginapan pegawai yang bertugas di Sabah, Sarawak atau tempat lain,” katanya kepada Sinchew Daily.
Tambahnya, selari dengan pertambahan jumlah pengundi, kos pencetakan untuk kertas undi juga meningkat.
“Tidak kira logistik, kelengkapan, pencetakan, pentadbiran, elaun, latihan, makanan dan pengangkutan, semua kos telah meningkat,” katanya.
Ujarnya, pilihan raya pada musim banjir juga boleh meningkatkan kos kerana SPR perlu mengambil kira faktor cuaca dalam perancangan belanjawan. – MalaysiaGazette