Antara pengunjung yang hadir ke Karnival Usahawan dan Koperasi ketika di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 OKTOBER 2022.

KUALA SELANGOR – Para peniaga food truck yang menyertai Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Selangor tidak rugi mengambil bahagian berniaga dalam program itu.

Bukan sahaja mereka dapat meraih keuntungan hasil daripada jualan makanan malah pelbagai manfaat turut diperoleh daripada program sehari anjuran Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu.

Rata-rata peniaga mengakui, penganjuran karnival seperti itu mampu menjadi batu loncatan kepada mereka untuk mempromosi jualan selain menjadi medium melebarkan lagi perniagaan masing-masing.

Seorang peniaga takoyaki, Abdul Halim Abdul Hafiz, 26, berkata, dia bukan sahaja dapat menjual makanan tetapi turut memperoleh ilmu daripada slot-slot program yang diatur oleh penganjur.

Katanya, sambil menjual dan mendapat keuntungan, dia juga mendapat ilmu berguna yang boleh diimplementasikan dalam perniagaannya.

“Saya dapat lihat ushawan-usahawan dengan kepelbagaian produk-produk dan saya boleh belajar mencari idea baharu yang boleh digunakan untuk majukan perniagaan.

Abdul Halim Abdul Hafiz

“Cuma kalau boleh pada masa akan datang jika diadakan lagi program semacam ini penganjur dapatlah sediakan kemudahan awam seperti tandas dan tempat letak kereta lebih luas untuk keselesaan pengunjung,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagi Nurul Suhaina Mat Saleh, 35, rasa sangat beruntung kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada peniaga dalam karnival yang sama.

Baginya, ini pertama kali berniaga dalam satu program besar kerana kebiasaannya dia hanya mengikuti program kecil-kecilan seperti rumah terbuka dan jualan food truck di tempat terbuka.

“Alhamdulillah, program ini telah beri peluang kepada kami peniaga food truck untuk memperkenalkan makanan yang dijual kepada orang ramai.

“Sambutan juga sangat memberangsangkan dan yang lebih penting kami dapat berkenalan dengan peniaga-peniaga food truck yang lain,” ujar beliau yang merupakan peniaga char koay teow.

Nurul Suhaina Mat Saleh

Sementara itu, peniaga kebab, Noor Azlin Sahat, 48, berkata, sejak gerainya dibuka pada pukul 7 pagi hingga 12 tengahari, dia telah berulang kali memasak daging ayam dan lembu ekoran permintaan pengunjung.

Jelasnya, perkara seperti itu jarang berlaku dan dia tidak menyangka makanan yang dijual mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

“Apa yang lebih penting kami peniaga food truck dapat dikumpulkan di sini daripada berniaga sendiri. Ini lebih elok kerana kami dapat dikumpulkan dalam satu tempat dan ia lebih meriah.

“Saya pun sudah biasa berniaga ikut karnival macam ini dan yang terbaru saya ikuti Jelajah Inspirasi Keluarga Malaysia di Melaka. Ada juga yang saya ikuti dio Kelantan, di Selangor ini dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Noor Azlin menambah, dia tidak menjangka jumlah kehadiran pengunjung begitu ramai namun persiapan untuk menambah stok jualan telah dibuat lebih awal bagi menampung permintaan pelanggan. – MalaysiaGazette