Ahmad Zahid Hamidi kekalahan mutlak
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Istilah ‘pak lebai’ dalam konteks politik didakwa mula dipopularkan oleh Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika beliau masih bersama PKR dahulu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan penggunaan istilah tersebut dalam konteks politik dicipta oleh beliau.

Menurut Presiden UMNO itu, ia mula dipopularkan oleh Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Besar Selangor pada 2017.

“Jadi seharusnya pemimpin Pas bertanya kepada Pengarah Pilihan Raya gabungan baharu mereka mengenai istilah ‘pak lebai’.

“Bagaimana beliau memperoleh ilham tersebut dan mengapa beliau ‘menobatkan’ Pas sebagai parti ‘pak lebai’,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Azmin Ali
Tangkap layar ciapan Twitter Mohamed Azmin Ali pada 21 Mac 2017.

Rabu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Pas memandangkan parti ‘pak lebai’ itu dilihat tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam membentuk kerjasama politik.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyatakan, gelaran parti ‘pak lebai’ itu bukan sesuatu yang hina, jika dibandingkan dengan gelaran ‘penyamun politik’.

Ahmad Zahid meminta Pas supaya jangan kerap melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif kerana berasa diri terlalu suci murni.

“Sehinggakan UMNO/BN enggan memenuhi faedah dan manfaat mereka digelar sebagai haiwan dan seumpamanya.

“Sedangkan mereka sendiri tidak suka dikaitkan dengan sesuatu gelaran walaupun hanya ‘pak lebai’,” jelasnya.

Beliau memberitahu, politik sepatutnya digunakan untuk memperkuatkan agama, dan bukan menggunakan agama untuk memperkuatkan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast