Sebanyak enam buah kereta terbakar di sebuah kondominium di Desa Petaling semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam buah kereta terbakar di sebuah kondominium di Desa Petaling di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, kebakaran yang berlaku pukul 9.40 malam berpunca daripada sebuah kereta yang terbakar di Aras 3B sebelum merebak ke Aras 3C dan 2B.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah, Balai Polis Salak Selatan Baru telah sampai ke lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, Zam Halim berkata, kebakaran berjaya dikawal oleh pihak bomba dan pihaknya turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa berlaku daripada kejadian berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran. – MalaysiaGazette