Ramasamy.

SIMPANG AMPAT – Jawatankuasa Tertinggi (CEC) DAP diminta tidak meletakkan calon ‘bidan terjun’ di kerusi Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, ia susulan DAP cawangan Batu Kawan sebulat suara mahukan calon tempatan dipertaruhkan untuk kerusi tersebut.

“Saya tak setuju kalau mereka (DAP) bawa orang luar iaitu calon bidan terjun kerana kita ada calon tempatan yang berbakat. Jadi kenapa kita nak pilih yang lain?

“Dulu ya lah tak ada orang tempatan, mereka bawa orang dari luar tapi sekarang keadaanya sudah berubah.

“Parlimen Batu Kawan ini kita perlukan orang tempatan yang mana sudah biasa dengan kawasan ini selain memperjuangkan suara penduduk Batu Kawan,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Deepavali beliau di Bandar Tasek Mutiara di sini, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Timbalan Ketua Menteri II tersebut.

TYT bersama isteri turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Deepavali di kediaman P. Ramasamy hari ini.

Turut hadir, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow serta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada akan bertanding di Parlimen Batu Kawan, Ramasamy berkata, tiada perbincangan mengenai perkara itu dibuat parti.

“Saya minta kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai untuk satu penggal lagi dan tiada perbincangan bahawa saya dicalonkan bertanding kerusi Parlimen dibuat oleh parti sehingga kini.

“Senarai calon untuk kerusi Parlimen Pulau Pinang telah dihantar untuk rujukan CEC dan keputusan siapa calon yang akan dipertandingkan di kerusi-kerusi berkaitan masih belum diputuskan,” jelas beliau. – MalausiaGazette