PADANG TERAP – Ketua Bersatu Bahagian Padang Terap Datuk Syed Sobri Syed Hashim hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua bahagian itu, dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya selain itu lebih 1,000 ahli Bersatu bahagian berkenaan serta empat ketua serta ahli jawatankuasa (AJK) beberapa cawangan di Bahagian Padang Terap, turut mengikut jejak langkahnya meninggalkan parti.
Beliau mendakwa tindakan keluar parti itu dibuat atas faktor mereka hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu yang dilihat hanya beretorik dan bukannya berjuang untuk rakyat sebaliknya hanya menjaga kepentingan diri.
“Tindakan keluar parti ini dibuat atas kerelaan tanpa paksaan atau kerana ditawarkan habuan tertentu. Langkah ini didorong oleh rasa hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pimpinan Bersatu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Syed Sobri pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang mewakili Barisan Nasional (BN) dari 2008 hingga 2013.- BERNAMA