Gambar hiasan

SEOUL – Tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran terhadap sebuah kapal milik Korea Utara yang melintas Garisan Had Utara (NLL – Northern Limit Line) di Laut Kuning yang mana ia merupakan sempadan maritim kedua-dua negara.

Korea Utara turut melepaskan ‘tembakan amaran’ sebagai tindakan balas ke atas jirannya itu.

Sebuah kapal dagang Korea Utara mencabuli perairan NLL berhampiran Pulau Baengnyeong pada jam 3.42 pagi dan berundur menuju ke utara selepas tentera laut Korea Selatan mengeluarkan amaran berbentuk mesej dan melepaskan tembakan amaran, menurut Ketua Staf Bersama Selatan (JCS) seperti dipetik agensi berita, Yonhap.

Sejurus selepas pengumuman itu, tentera Korea Utara mendakwa kapal perang Korea Selatan mencabuli perairan sempadan sebelah barat dan melepaskan tembakan ke arah barat sebagai ‘tanda ancaman dan tembakan amaran’.

Kapal pengiring Korea Selatan menyerbu Garisan Pemisah Tentera yang dikuasai tentera Korea Utara yang berukuran 5 kilometer (panjang) dan 2.5 km lebar pada jam 3.50 pagi dalam usaha melaksanakan pembanterasan kapal yang tidak dikenalipasti, kata jurucakap Staf Am Tentera Rakyat Korea (KPA) dalam satu kenyataan.

“Staf Am KPA sekali lagi menghantar amaran keras kepada musuh-musuh yang menceroboh perairan yang menyebabkan provokasi tembakan dilepaskan baru-baru ini dan amaran dikeluarkan melalui pembesar suara di darat,” menurut kenyataan berbahasa Inggeris yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

JCS Korea Selatan berkata, ia mengesan pelancaran 10 peluru artileri yang dilepaskan bermula jam 5.14 pagi, yang mana ia mencabul Perjanjian Tentera Komprehensif antara kedua-dua negara bagi mengurangkan ketegangan di sempadan.

JCS menyifatkan tindakan itu sebagai provokasi yang memberi kesan terhadap keamanan dan kestabilan bukan sahaja di Semenanjung Korea tetapi juga komuniti antarabangsa. – Agensi