Mohamed Tawfik Ismail. -Foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu memberikan reaksi positif terhadap permintaan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman untuk menggunakan logo parti itu bagi menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, permohonan Mohamed Tawfik yang merupakan salah seorang calon Gerak Independent perlu dibenarkan untuk bertanding melawan Ahmad Zahid di Parlimen Bagan Datuk.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan sepatutnya memberi respons yang wajar dan positif terhadap permintaan Tawfik Ismail untuk bertanding di bawah tiket PH di Bagan Datuk menentang Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini akan menjadi cara terbaik untuk mengetengahkan tema PRU 15 – bahawa ia bukan untuk memastikan pemimpin UMNO dan BN terlepas daripada didakwa di mahkamah kerana rasuah dan dihantar ke penjara, seperti katanya (Ahmad Zahid) dalam ucapan Perhimpunan MIC yang terkenal mengenai perkara yang sama,” ciap Kit Siang di Twitter.

Semalam sebuah portal melaporkan, Tawfik yang merupakan pengasas Gerak Independent yang turut dianggotai peguam kontroversi Siti Kasim telah mengemukakan permohonan untuk bertanding di Bagan Datuk atas tiket PH.

Tawfik berkata, langkah itu merupakan strategi untuk mengelak undi PH berpecah.

“Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Anak sulung timbalan perdana menteri kedua itu baru-baru ini menyatakan hasrat untuk mencabar Ahmad Zahid di Bagan Datuk.

Mohamed Taufik bekas pemimpin UMNO dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 80-an.

Awal tahun ini, Gerak Indipendent mengumumkan barisan calon PRU15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

Kesemua kerusi berkenaan dimenangi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

Empat daripada kerusi itu dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi dimenangi DAP.

Tawfik dikatakan telah bertemu beberapa pemimpin kanan PH pada konvensyen gabungan itu Khamis lalu untuk memaklumkan permintaannya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Woi Lim Kit Siang…anak ko yg pengecut…gugurkan kes mahkamah dgn pertolongan Tommy Thomas…anak bapak kaki rasuah…ko tunggu lepas PRU kalau anak dan menantu kau boleh bebas kali ni yer

Comments are closed.