Pengerusi Perikatan Nasional Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah

BENTONG – Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logonya di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu diputuskan oleh ketiga-tiga parti yang menyertai gabungan parti politik itu.

“Setakat ini daripada ketiga-tiga parti dalam PN Pahang sepakat guna logo Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan hari Deepavali PN peringkat Bentong, hari ini.

Sebelum ini, PN memutuskan untuk menggunakan logo Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi ketiga-tiga negeri itu pada PRU15, 19 November depan.

Antara yang sudah mengesahkan menggunakan logo Pas adalah calon Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustafa Mohamed dan Datuk Seri Ikhmal Abdul Aziz untuk Parlimen Tanah Merah.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar bagi PN Pahang, Saifuddin berkata, perkara itu akan diumumkan kelak.

“Saya yakin kita mempunyai calon untuk Menteri Besar dan mungkin sebelum PRU atau masa yang bersesuaian kita akan umumkan.

“Pahang bersiap sedia dari puncak air meleleh sampailah ke ombak memukul pantai. Kita bersiap sedia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, desas desus Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di Parlimen Jerantut hanya spekulasi.

Saifuddin berkata, perkara itu hanya akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.

“Itu desas desus, sebab saya pun kalau secara peribadi saya penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, saya pun tidak boleh kata saya akan bertanding di Indera Mahkota.

“Kalau tanya saya memang saya kata bersedia untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi pihak PN. Tapi kita tidak tahu pihak MT mungkin ada keputusan yang sedikit berbeza di mana kita sebagai ahli parti patut patuh.

“Macam saya dahulu berhajat nak tanding sekali lagi di Temerloh tapi dihantar ke Indera Mahkota, kita ikut sahaja. Lazimnya parti melihat gambaran yang lebih besar, kami ini melihat dari sudut Pahang,” katanya.

Tuan Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 19,369 undi.

Beliau yang menjadi calon buat pertama kali di kawasan itu memperoleh 35,620 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani yang mendapat 16,251 undi dan calon PKR, Datuk Dr Abdul Halim Yusof dengan 11,557 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast