Presiden Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika bercakap pada sidang media selepas selesai menghadiri ke Sidang Muda di Connexion Conference Centre, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Program debat calon Perdana Menteri membolehkan rakyat menilai calon yang ingin diberikan mandat selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah berdebat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu masa depan negara pada Mei lalu.

“Bagilah peluang kepada rakyat Malaysia nak nilai calon PM kita. Inilah cara politik sihat dengan berlawan hujah dengan fakta dan data.

“Kita kalau nak beli barang pun tengok kualiti. Jangan nanti barang order dengan barang sampai lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Muar itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan debat sebelum pilihan raya juga bukan budaya Malaysia dan tidak pernah dibuat sedemikian.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak perlu berdebat kerana ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, seorang pemimpin perlu berani menjawab persoalan daripada rakyat mahupun seteru politik.

“Pemimpin kena tunjuk pelan dasar dan polisi untuk hala tuju negara. Kena tunjuk pemimpin yang bakal memimpin Malaysia ada kredibiliti.

“Tunjuk kepada rakyat yang bakal PM kita ini berani ambil sebarang cabaran.

“Barulah rakyat confident nak mengundi calon mana nanti. Saya sokong debat antara calon-calon PM diadakan,” katanya lagi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya  debat terbuka tiga calon Perdana Menteri dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) diadakan sempena PRU15.

Perbahasan itu kata Anwar, perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.